Saya beli buku ini di kedai buku terpakai di central Manila hujung tahun lepas. Saya lupa mall yang mana satu. Kami ke banyak mall sebab rakan-rakan seperjalanan saya suka shopping. Saya suka juga, tapi sebab fund kurang mengizinkan, saya cuma mampu cari buku-buku lama saja.
Sudah agak lama sebenarnya saya mencari-cari buku Maya Angelou. Terutama, selepas saya baca satu qoute beliau pada kalendar teman saya, "a bird doesnt sing because it has an answer, it sings because it has a song". Ayat semudah itu, dalam mengandung erti.
Pembacaan Heart of a Woman membawa saya pada penghayatan ayat-ayat yang ringkas, mudah tapi sangat membekas dan berkesan. Penceritaan Maya adalah bersahaja, jujur dan kadang-kala saya rasa terlalu berterus-terang. Ini kekuatan buku ini, dia tidak menyembunyikan kelemahan atau keberadaan dirinya sehingga itu jadi sangat endearing.
Plot ceritanya berkisar pada diri beliau sendiri dan anak lelakinya, Guy. Dia melahirkan Guy semasa umurnya baharu 17 tahun. Kemudian, ceritanya tentang dunia hiburan, menyanyi, menari, berlakon dan orang-orang seni yang dikenalnya. Seterusnya pergolakan pembebasan masyarakat kulit hitam di Amerika syarikat yang diungguli oleh Martin Luther King dan kontemporarinya seperti Malcolm X.
Maya terlibat secara langsung dalam perjuangan pembebasan itu apabila beliau dan rakan-rakan seninya membuat pementasan Carbaret of Freedom untuk mengumpul dana bagi gerakan King di selatan. Seterusnya, beliau menjadi koordinator agensi yang menjanakan dana untuk gerakan itu, SCLC.
Dalam buku ini, Maya sangat terbuka mengenai keperluan seks dan hubungannya dengan beberapa lelaki. Teringat saya dengan kes lama dulu di negara kita, bila penyanyi bersuara lantang Ning Baizura menyuarakan imaginasi seksnya dengan beberapa lelaki, beliau telah dikecam dan dinista. Di Malaysia, saya belum membaca autobiografi wanita yang ada unsur seperti ini. Ayu Utami di Indonesia telus bercerita tentang seksualiti dan keinginannya dalam buku Parasit Lajang.
Perkara menarik yang berlaku apabila penulis memasukkan isu seks dan keinginan atau keperluan seks adalah keupayaan penulis mengimbangkan penceritaan supaya cerita itu tidak jadi pronografi. Seadanya saja tanpa perincian yang berlebihan.
Mungkin saya bercakap dengan selera Asia yang imaginasi seks nya tinggi, tapi jadi turned off sedikit bila hal itu jadi terlalu terperinci. Sensual tapi tidak menjolok mata sehingga menghapuskan keperluan berimaginasi. Barangkali ini selera saya saja, tidak semestinya betul untuk yang lain.
Maya jadi isteri pejuang kemerdekaan Afrika selatan setelah meninggalkan tunangannya di New York. Dia seterusnya menceritakan hidupnya sebagai isteri pejuang kemerdekaan. Beban perjuangan, hidup domestik sebagai isteri, hidup di rantau orang (Cairo), berhadapan dengan orang asing dan masalah rumahtangga beliau, sehinggalah kepada budaya Afrika yang asing baginya.
Maya mengakhiri autobiografi ini dengan perkara yang paling dekat dengan hatinya iaitu, anak lelakinya, Guy.
Buku ini ditulis dengan kronologi yang jelas dan perkara-perkara yang berlaku dalam sejarah serta tokoh-tokoh besar yang memimpin atau mendalangi sejarah-sejarah itu disebutkan, cerita dirinya seperti mengalir pada aliran kronologi itu.
Untuk para aktivis kemanusiaan, para feminis; buku ini saya sangat syorkan untuk anda baca, sebagai panduan dan juga inspirasi. Dan kalau anda wanita, buku ini pasti berguna untuk mengenal diri anda sendiri.
Iya. Banyak wanita tidak sedar diri.
10/10
No comments:
Post a Comment