Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 23, 2016

A Different Sun by Elaine Neil Orr




Ini adalah buku paling romantik dan mengesankan yang saya baca sepanjang tahun ini. 

Cerita tentang seorang wanita, Emma yang lahir dalam keluarga berkulit putih peladang di Georgia. Dia mempunyai hati berbelas kasihan kepada hamba keluarga mereka dari benua Afrika. Malah bersahabat dengan hamba mereka, Uncle Eli. 

Tertarik dengan Afrika dan ke sana selepas berkahwin dengan mubaligh lahir baru dari Texas, Henry. 

Berada jauh dari keluarga, tanah kelahiran dan pelbagai dugaan dan cabaran di tempat asing, Emma berusaha terus setia dan meyakini panggilan Tuhan terhadap dirinya dan suami beliau. 

Budaya asing dan masyarakat di sekelilingnya (suku Yoruba) yang tanpa disedari oleh Emma dipandang olehnya sebagai budaya yang lebih rendah, masyarakat yang kelasnya tidak setaraf dengannya. Kerana terbiasa dengan keadaan diri semasa di Georgia. 

Bagaimana memberikan kesaksian diri yang benar dan menjadi wadah berita baik injil Kristus dalam keadaan itu? Adakah usaha memberitakan injil dapat dilakukan dengan jaya dengan pola fikir dan tindakan seperti itu? 

Emma dan suaminya Henry belajar bergantung penuh kepada Tuhan dalam keadaan mereka kekurangan dana, Emma yang pernah keguguran dan sarat mengandung ketika suaminya menderita sakit tenat, tanpa bantuan dari mana-mana orang kulit putih lain. Mereka mula melihat kasih sayang dan kebaikan masyarakat Afrika di sekeliling mereka. 

Mereka belajar untuk tidak membataskan Tuhan pada kefahaman teologi atau budaya asal yang mereka ketahui. Tuhan tidak pernah meninggalkan. Janjinya tetap. FikiranNya tidak akan pernah dijangkau oleh pemikiran kita yang dangkal. 

Perkara romantik yang saya temui pada Emma dan Jacob ialah kenyataan bahawa; Menyayangi orang, paling mengesankan apabila orang itu tahu dan kita tahu dan yang pemberatnya malar, tidak berubah walaupun dihalangi masa atau jarak atau budaya. 

Namun, jauh lebih mengesankan dari cinta seperti itu ialah cinta yang setia. Kesetiaan adalah keberanian untuk terus bersama walaupun diberi pilihan lain. Kesetiaan Emma kepada suaminya, Henry membuat saya yakin buku ini adalah buku paling romantik saya baca tahun ini. 

Iya. Jatuh cinta itu mudah. Tapi, untuk terus mempertahankan cinta, itu perlu usaha. Dan itu tidak selalu mudah. 

9.5/10

Saturday, November 19, 2016

Tiger, Tiger by Margaux Fragoso

picture from Google image

Saya memulai buku ini sejurus selepas saya usai membaca Aruna dan lidahnya, sebab saya perlu membaca sesuatu untuk melarikan diri dari kesedihan dan melankolik induced dari pembacaan sebelumnya. 

21 sept 2016, sekitar pukul 6.00 petang. Dari prolog, saya sudah mula fikir "duh! Memoir rupanya". Memoir bukan genre bacaan kegemaran saya. Tapi ini cerita dari mangsa pedofilia sepatutnya menarik dan menggerunkan. 

Sedikit pengakuan bagaimana saya membeli buku ini; tahun ini, antara buku bacaan yang paling mengesankan bagi saya adalah bertemakan harimau. 
1. Manusia Harimau oleh Eka Kurniawan
2. The Tiger's wife by Tea Obreht
Oleh itu, hati saya digamit-gamit untuk membeli buku ini di SunMag KL sentral (kedai buku murahan di lantai 1). Maka, saya beli tanpa memperhatikan perkataan memoir pada muka depannya. Haih! 

Selepas membaca prolog, saya jadi lebih takut untuk membaca. Seakan saya enggan untuk menelusuri rasa seorang mangsa pedofilia. 

11.41 pm 21 sept. Saya sudah sampai ke bab 3. Margaux (sebut Margo) sekeluarga berpindah 9 blok dari apartment mereka. Temperemen ayahnya, depression ibunya dan keluarga Peter yang unik. Saya belum betul suka pembacaan ini. Tapi, saya semakin bergolak mahu tahu bagaimana hubungan mangsa-pemangsa itu nanti berkembang. 

Coercion. Ini perlu diperhatikan. 

22 sept. Sambung baca dalam flight Kch-KK. Usai 2 bab lagi. Sudah sampai ke bahagian bagaimana Peter the pedo mula macam-macam dengan Margaux sehingga saya perlu berhenti membaca sebab rasa mual (terasa kalau saya adalah Margaux, saya pasti akan jatuh juga). 

Mudah untuk mengata. Mudah menghakimi. Untuk menghidupi dan mengalami, itu yang sukar. Paling mampu kita lakukan adalah untuk cuba memahami. Iya.. Cubalah. 

6/10

Monday, November 14, 2016

Aruna dan Lidahnya oleh Laksmi Pamuntjak


Saya beli buku ini di Aksara (mall?) Jakarta bulan Mac lepas. Entah bagaimana saya terlepas pandang buku ini dan hanya sedar semalam (awal pagi 20 sept 2016), bila saya tidak dapat tidur sebab flight dari KK ke Kuching sampai pukul 11.45pm, dan tiba di rumah selepas 12.30am. Setelah berkemas, (sebab bau tempoyak dan bambangan terlalu kuat dalam beg dan perlu dibereskan sebelum tidur). Oleh itu, jam tidur saya tertunda, menyebabkan saya tidak dapat tidur. 

Jadi, awal pagi tadi saya berusaha membaca pembukaan buku ini dan juga bahagian 1. Wah! Kau tahu perasaan berdebar-debar menerima hadiah yang balutannya kemas cantik? Pembacaan awal buku ini memberikan sensasi begitu. 

Begini permulaan ceritanya; Menarik kan? 


Petang 21 sept saya usai membaca buku ini. Perasaan saya berbaur. Sedih dan melankolik. Kalau saya dalam cerita ini, saya pasti jatuh hati kepada Farish juga. 

Ini adalah buku yang berani dan terbuka membangkitkan isu-isu negara dan perkaitannya dengan pola berfikir masyarakat, budaya (cth; salah guna kuasa pemerintah, korupsi, birokrasi) 

Watak-watak utama dalam cerita menarik; perwatakan, perkembangan watak dalam plot tidak statik. Dalam setiap bab, sisi lain setiap watak di tunjukkan. Seperti kita menjalin hubungan dengan individu, proses mengenal itu jadi intimate dan menarik. 

Dan ini yang paling saya suka dalam buku ini, pertalian antara bawah sedar si watak utama dan perkembangan plot. Hampir semua bab bermula dengan mimpi, kemudian di bawa ke realiti. Mimpi-realiti itu seakan-akan berkait, tapi tidak secara dipaksakan, pembaca perlu mencari titik kesamaan atau perkaitannya. 

Dan sebab ini buku berkaitan kulineri, setiap bab bercerita tentang makanan di pelbagai tempat di Indonesia. 

Buku ini sepatutnya jadi buku yang mudah disukai, sebab kita bangsa yang sukakan makanan, melebihi dari banyak perkara atau hal lain. Henry David Thoreau menulis tentang cara hidup minimalis beliau dalam Walden berkaitan makanan dan budaya makan. Amalan seperti Thoreau itu, seperti jauh panggang dari api dalam kalangan masyarakat kita yang makan tidak ingat dunia. Kalau dilihat pada statistik berkaitan obesiti di Asia tenggara, Malaysia mengungguli. Negara kita, negara obes. 

Perlu selektif dalam memilih makanan. Perlu benar-benar menikmati; mengunyah, merasakan dan menelan makanan dengan semua pancaindera yang ada. Supaya makan jadi sesuatu yang bererti, bukan setakat memenuhkan nafsu. mungkin ini sebenarnya intipati buku ini. 

Dan dalam buku ini, saya jatuh hati dengan Farish. Setelah saya jatuh hati dengan Aruna. Saya mahu jadi Aruna. Lebih kurang begitulah kesimpulan saya setelah habis membaca buku ini. 

Ahhh.. Shallow gila kan saya? 

Itu saya. Buku ini tidak. Buku ini sarat dengan pandangan terhadap masyarakat berbilang bangsa, permasalahan sejagat, kerencaman pola berfikir yang menentukan tindakan dan akibat darinya. Kekayaan negara Indonesia (etnik, sejarah, makanan dan pulau-pulaunya). 

Tahun depan, saya perlu ke Palembang, kalau bukan untuk mencari seorang Farish, sekurang-kurangnya dapat mencicip pempek terenak sedunia di sana.

10/10



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...