Ini adalah buku paling romantik dan mengesankan yang saya baca sepanjang tahun ini.
Cerita tentang seorang wanita, Emma yang lahir dalam keluarga berkulit putih peladang di Georgia. Dia mempunyai hati berbelas kasihan kepada hamba keluarga mereka dari benua Afrika. Malah bersahabat dengan hamba mereka, Uncle Eli.
Tertarik dengan Afrika dan ke sana selepas berkahwin dengan mubaligh lahir baru dari Texas, Henry.
Berada jauh dari keluarga, tanah kelahiran dan pelbagai dugaan dan cabaran di tempat asing, Emma berusaha terus setia dan meyakini panggilan Tuhan terhadap dirinya dan suami beliau.
Budaya asing dan masyarakat di sekelilingnya (suku Yoruba) yang tanpa disedari oleh Emma dipandang olehnya sebagai budaya yang lebih rendah, masyarakat yang kelasnya tidak setaraf dengannya. Kerana terbiasa dengan keadaan diri semasa di Georgia.
Bagaimana memberikan kesaksian diri yang benar dan menjadi wadah berita baik injil Kristus dalam keadaan itu? Adakah usaha memberitakan injil dapat dilakukan dengan jaya dengan pola fikir dan tindakan seperti itu?
Emma dan suaminya Henry belajar bergantung penuh kepada Tuhan dalam keadaan mereka kekurangan dana, Emma yang pernah keguguran dan sarat mengandung ketika suaminya menderita sakit tenat, tanpa bantuan dari mana-mana orang kulit putih lain. Mereka mula melihat kasih sayang dan kebaikan masyarakat Afrika di sekeliling mereka.
Mereka belajar untuk tidak membataskan Tuhan pada kefahaman teologi atau budaya asal yang mereka ketahui. Tuhan tidak pernah meninggalkan. Janjinya tetap. FikiranNya tidak akan pernah dijangkau oleh pemikiran kita yang dangkal.
Perkara romantik yang saya temui pada Emma dan Jacob ialah kenyataan bahawa; Menyayangi orang, paling mengesankan apabila orang itu tahu dan kita tahu dan yang pemberatnya malar, tidak berubah walaupun dihalangi masa atau jarak atau budaya.
Namun, jauh lebih mengesankan dari cinta seperti itu ialah cinta yang setia. Kesetiaan adalah keberanian untuk terus bersama walaupun diberi pilihan lain. Kesetiaan Emma kepada suaminya, Henry membuat saya yakin buku ini adalah buku paling romantik saya baca tahun ini.
Iya. Jatuh cinta itu mudah. Tapi, untuk terus mempertahankan cinta, itu perlu usaha. Dan itu tidak selalu mudah.
9.5/10