Seharian membaca buku ini dan ceritanya cukup meyakinkan. Watak-watak saling melengkapkan, diadun dalam suara islamik yang tidak keterlaluan.
Ceritanya mudah, tentang perjalanan ke tanah suci mekah untuk menjalankan ibadah haji oleh sekelompok manusia dari tanah Indonesia yang pada masa itu masih dijajah oleh Belanda (1938).
Perjalanan dari Makassar hingga ke Jeddah yang mengambil masa 30 hari itu disusun begitu rupa sehingga kita yang membacanya akan rasa akrab dengan kapten kapal, kelasinya, orang dapur, tentera Belanda dan penumpang-penumpang di dalam kapal itu.
Sehinggalah diungkapkan lima persoalan penting yang ditanyakan, semuanya dijawab oleh Gurutta, si ilmuan Islam terkenal dari Goa. Persoalan terakhir itu sebenarnya milik dia sendiri dan dijawab bukan dengan lisan, tapi dengan perbuatan oleh orang yang paling akhir untuk memberikan jawapan pada persoalan itu.
Pelbagai masalah di atas kapal, diceritakan dengan santai dan digarap dalam cerita ini dengan baik. Masalah enjin kapal sehinggalah masalah serbuan lanun Somalia.
Kemudian, cerita-cerita lucu dari pandangan anak-anak kecil yang dilontarkan melalui watak adik-beradik Elsa dan Anna. Juga kisah cinta ibu-bapa mereka dan juga si kelasi gelap yang menjauh dari kekasihnya, juga si kelasi Belanda yang merindui kekasihnya di negara asalnya. Kisah percintaan dua orang tua lanjut usia yang bercadang untuk naik haji bersama-sama yang kemudiannya terhalang kerana si isteri meninggal dalam perjalanan.
Keramaian di setiap dermaga di mana kapal mereka berlabuh sebentar. Serta peniupan semangat nasionalis dalam bentuk rusuhan di pasar Turi, Surabaya, serta ketakutan tentera penjajah kepada golongan cendekiawan Indonesia yang meniupkan semangat merdeka kepada orang kebanyakan melalui watak Sargent Lucas dengan nemesis beliau, Gurutta.
Membaca buku ini seperti berada bersama dalam kelompok di atas kapal yang sedang belayar itu. Melihat mereka satu-persatu dan menimbangkan tindakan dan pertanyaan mereka. Ini adalah pengalaman yang luar biasa indah.
9.5/10
Saya sedang berduka untuk tempat asal penulis buku ini, negara yang habis toleran menjadi kacau bila sesetengah orang berkepentingan menunggang agama untuk mencapai hasrat mereka.
No comments:
Post a Comment